Myfa Beleza

About Us

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

 

Segala puji milik Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, seluruh keluarga dan sahabat Baginda sekeliannya.

 

Assalamu’alaikum wbt.

 

Semoga Myfa Beleza sentiasa diberkati Allah SWT.

 

SEBUAH PERJALANAN

 

Berbekalkan ilmu yang ditimba di SMV Puteri, Temerloh, Pahang selama dua tahun, iaitu pada 2010 dan 2011, seorang remaja biasa mula mengorak langkah dengan bekerja di salon-salon Muslimah di sekitar Kuantan, Pahang, sebelum meningkatkan kemahiran di GiatMARA Ampang Jaya, Selangor.

 

Merasakan ilmu yang ada masih belum mencukupi untuk memulakan perniagaan sendiri, beliau bekerja lagi di beberapa salon Muslimah di Kuantan, Kuala Lumpur dan Alor Setar, Kedah.

 

Kemudian, pada tahun 2015, sejarah Myfa Beleza pun bermula. Remaja yang mula meningkat dewasa itu nekad terjun ke bidang perniagaan kecantikan dengan menjurus kepada bidang dandanan rambut. Pada tahun tersebut, beliau telah berhasil membuka sebuah salon & spa Muslimah yang kecil di tengah-tengah bandar Kuantan, Pahang. Di samping memberikan perkhidmatan dandanan rambut, pada tahun yang sama, beliau mula memperkenalkan serum rambut kegemaran pelanggan yang digunakan di salonnya ke pasaran terbuka dengan jenama Zayyana Almyra, berkongsi nama dengan salon kecil beliau.

 

Menyedari bahawa produk-produk yang digunakan untuk mendandan rambut pelanggan di salonnya memiliki potensi pasaran yang menggalakkan, beliau mula meluaskan rangkaian produknya dengan menambah dua lagi kategori bahan penjagaan rambut gred salon, iaitu syampu dan krim rawatan rambut.

 

Pada masa yang sama, beliau berjaya pula membuka sebuah lagi salon & spa Muslimah di Bandar Indera Mahkota, Kuantan yang berfungsi sebagai cawangan utama merangkap pusat pembungkusan dan pengedaran produk. Atas kesedaran tentang pentingnya imej dan penjenamaan dalam dunia perniagaan, beliau telah menjenamakan semula keseluruhan rangkaian salon dan produknya dengan jenama Myfa Beleza yang telah pun didaftarkan sebagai harta intelek.

 

Tahun-tahun berikutnya menyaksikan perkembangan perniagaan yang semakin menggalakkan. Pemasaran produk penjagaan rambut yang semakin meluas, mula memerlukan rangkaian agen jualan di seluruh Malaysia. Keperluan terhadap peranan pemimpin dalam kalangan agen jualan semakin mendesak.

 

Oleh itu, usaha-usaha telah dilaksanakan untuk menyusun struktur organisasi rangkaian agen dengan memberikan penarafan pemimpin terhadap agen-agen sedia ada bagi membentuk kumpulan-kumpulan jualan, dengan para pemimpin di beberapa peringkat yang saling sokong-menyokong demi mempromosikan perniagaan dan pada masa yang sama, meningkatkan pendapatan para agen.

 

Dalam pada itu, dengan izin Allah yang Maha Pemurah, rangkaian salon Muslimah Myfa Beleza terus melebarkan sayapnya. Pada tahun 2019, sebuah lagi cawangan salon & spa Muslimah telah memulakan operasi di Bandar Satelit, Muadzam Shah, Rompin, Pahang. Pakej-pakej promosi yang dilancarkan dari semasa ke semasa telah membantu meningkatkan penghasilan. Dengan mengutamakan kualiti layanan dan perkhidmatan, nama salon & spa Muslimah Myfa Beleza semakin menjadi sebutan. Dengan gelaran “dayang”, para jurudandan Myfa Beleza melayan para pelanggan mereka bagaikan “sang puteri”.

 

Sementara itu, rangkaian produk turut mengalami perkembangan. Selain serum rambut yang didatangkan dengan 3 aroma berbeza; “Fresh”, “Sunflower” dan “Apple”; satu lagi serum rambut kategori premium, iaitu MB Serum, telah diperkenalkan. Produk syampu turut dipertingkatkan dengan memiliki dua variasi bauan (“Honey Dew” dan diikuti kemudiannya dengan “Lemon”), di samping tampil dengan dua sukatan isipadu berbeza bagi memenuhi keperluan isirumah pengguna yang turut berbeza. Krim rawatan rambut juga terus mendapat sambutan hangat. Seterusnya, bagi meluaskan sasaran pengguna berdasarkan keperluan masing-masing, ketiga-tiga produk tersebut turut digabungkan dalam satu pakej tunggal dengan gelaran “Hair Box” yang sesuai dijadikan set kembara mahupun hadiah eksklusif.

 

Kini, pada tahun 2021 yang semakin mencabar, apabila beliau menoleh kembali ke belakang, pengasas Myfa Beleza ini tidak dapat menafikan rasa syukur kepada Allah yang tidak terungkapkan oleh kata-kata. Meskipun segalanya kelihatan mudah dari pandangan mereka di luar sana, hakikatnya, segala apa yang tercapai sehingga kini bermula tanpa modal jutaan ringgit. Pencapaian sejauh ini diperolehi dengan menempuh segenap onak dan duri, belajar melalui kesilapan demi kesilapan serta mengatasi pelbagai cabaran dan rintangan dengan penuh redha dan tabah.

 

Berkat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada insan-insan terdekat dalam hidupnya, beliau terus mengatur langkah satu persatu, memajukan jenama Myfa Beleza dengan sokongan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-taulan. Tidak ketinggalan juga, sokongan padu turut diberikan oleh keseluruhan rangkaian agen serta para “dayang” yang sudah pun dianggap bagaikan keluarga sendiri.

 

Malahan, dua orang ‘Principal Agents’, yang menduduki puncak hierarki rangkaian jualan Myfa Beleza, sememangnya terdiri daripada ahli keluarga sendiri.  Dalam aspek ini, beliau tidak berpegang kepada ‘kepercayaan popular’ dalam dunia perniagaan, iaitu ahli keluarga tidak seharusnya terlibat secara langsung dalam hal ehwal operasi serta membuat keputusan penting yang menentukan hala tuju perniagaan. Bagi beliau, ahli keluargalah yang merupakan pendokong dan pendorong utama dalam memajukan perniagaan. Segala pandangan dan cadangan mereka turut diambil kira dalam membuat dan melaksanakan sesuatu keputusan.

 

Mungkin sahaja kesemua pencapaian itu tidaklah setinggi mana di mata orang lain. Namun, bagi keseluruhan warga Myfa Beleza®, cita-cita untuk terus memajukan diri dalam bidang dandanan merupakan fardhu kifayah dan jihad bagi membantu para wanita Muslimah tampil jelita buat suami tercinta, tanpa mengabaikan penjagaan aurat serta memastikan pemilihan bahan-bahan produk yang bertepatan dengan kehendak syarak.

 

Semoga hari-hari mendatang menjanjikan kejayaan yang gilang-gemilang buat seluruh warga Myfa Beleza, InshaAllah.

 

Ikhlas,
Nur Hamimifatin Abdul Hamid
‘Founder’
Myfa Beleza